Hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal lambung gelombangnya,
alur sungai serta diam nya batu,
perasaan musim,
fi'il langit dan sabar nya bumi
berhak membina kota.
Kerana arkitek matang itu anak di taman,
perenung di perpustakaan,
orang muda pulang bertandang di lorong malam,
pemunggah barang pasar di subuh hari,
pengadil di bangku bijaksana,
dan datuk bandar yang bangga.
Dia harus sayangkan lagu burung,
pemancing di teduhan pohon,
pemerhati tasik,
pengawas bintang,
dan bunga yang menjalar di beranda.
; Arkitek Kota - Muhammad Haji Salleh
Sajak ini terlampau sinis, sinis akan tanggungjawab sebagai seorang arkitek kota/perancang bandar yang sewajarnya mempunyai karakter yang cinta akan pembangunan sama adil dengan cinta akan alam sekitar. Cukuplah sekadar unsur personifikasi dalam sajak ini terhadap alam sekitar menjelaskan bahawa alam harus ditatang seperti makhluk bernyawa(manusia).
Nilai cinta akan alam sekitar harus dipupuk sama seperti cinta akan negara. Jika setiap tahun kita mampu untuk melaung "merdeka", menyanyi lagu patriotik, menghabiskan puluhan ribu untuk membuat sambutan kemerdekaan hanya untuk buktikan bahawa kita ada semangat patriotisme, nasionalisme, dan seumpana dengannya yang merujuk kepada kecintaan pada negara, mengapa tidak kita lahirkan, kita persembahkan kecintaan terhadap alam sekitar yang sudah pasti berkhidmat dengan jujurnya tanpa lelah kepada kita sejak dari umur sehari lagi?
Kita harus belajar untuk bersabar.
Kita harus belajar untuk berfikir secara rasional.
Kita harus belajar untuk bijak dalam manfaatkan ilmu yang sedia ada.
Dan, kita harus hargai alam sekitar kerana mereka adalah sebahagian daripada kita dan kita adalah sebahagian daripada mereka.
Aku bukanlah penjajah terhadap negara sendiri bukan juga yang layak untuk memerintah negara, namun aku seorang perawan pemerhati pantai, pengawas matahari, bulan dan bintang, penyumbang karbon dioksida dan peminta sedekah terhadap oksigen bukan di negara tetapi di dunia ini.
وتو كل على الله، وكفى بالله وكيلا

