Air mata seperti mahu berguguran namun masih dapat bertahan.
"Saudara aku di Gaza diperlakukan lebih kejam oleh Israel. Aku sebegini pun tidak mampu. Aku harus bersabar !" - Cerpen Tanah Tanpa Peta
Sebaris ini sudah cukup bagiku. Penangan dia tertusuk pada ulu hati. Mengaku diri seorang tabah tapi bila di jentik musibah, tersungkur sujud ke bumi. Siapa sebenarnya engkau? Hidup ini bukan satu hikayat luka dimana di sepanjang denai kemanusiaan dan liku sejarah yang kita harungi ini, kita duduk bersama duka semata mata.
Akur pada realiti bahawa kita ini seringkali dimomokkan dan digusarkan dengan segala semua perkara yang bakal terjadi pada masa hadapan sehinggakan kadang kala kita menjadi berlebih lebihan dalam emosi. Menjadi hamba kepada emosi itu bukan satu kesilapan besar tapi harus sedar bahawa ini dunia nyata, ini dunia realiti. Pada hakikat yang sebenarnya ialah kita menjadi hamba emosi sedemikian rupa kerana kita ini terlalu sangat meletakkan harapan pada manusia walhal kita sendiri tahu bahawa manusia itu tiada apa kuasa. Paling dikhuatiri ialah apabila kita meletakkan pengharapan kepada manusia itu lebih besar daripada pengharapan terhadap Ilahi.
Mulut ini tidak pernah berhenti melafazkan tawakaltu'alallah tapi secara zahirnya sejauh mana hati benar benar membawa erti lafaz itu? Maka, pesanku juga pada diri yang daif ini agar serahlah urusan hidup ini kepada Tuhan kerna sesungguhnya Dia lah pemilik jiwa dan jasad. Segala aturannya ini sudah tentu adalah ketetapan yang terbaik. Pasakkan keyakinan bahawa urusan dunia seperti rezeki, ajal, jodoh dan segalanya itu sudah ditetapkan oleh Tuhan mengikut hendak-Nya. Apapun hikayat kehidupan yang diharungi, semuanya aturan Tuhan. Percayalah bahawa, jika seluruh seisi bumi ini ingin memiskin kan kita, ingin mematikan perjalan hidup kita, mereka itu semua bukanlah sesiapa sekiranya mereka itu datang dari Tuhan. Maka, mengapa perlu rasa gusar dengan segala momokkan? Sakit ini, duka ini, kegembiraan ini, tangisan ini, tawa ini, kegagalan ini dan segala apa semua ini, ialah dengan izin Tuhan. Jika Tuhan tidak izinkan, semuanya tidak akan hadir
Perkara paling utama untuk didik diri adalah dengan mengajar diri untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dimiliki. Jangan lihat pada apa yang kita tidak miliki, jangan lihat pada apa yang kita telah hilang. Lihatlah pada apa yang di masih milik, lihat pada apa yang masih diberi kesempatan. Menghargai setiap saat duka itu sebenarnya merupakan satu proses kehidupan. Apalah erti hidup jika tiada duka? Apalah nilai nya sepotong Chocolate Strawberry Cheesecake jika tiada lapisan masam strawberi?

Maka disebabkan ini, mohon untuk tidak mengharapkan dan meletakkan harapan pada diri yang daif ini. Tiada apa yang mampu untuk si daif ini lakukan untuk capai pengharapan itu. Jangan pula kerana kita risau akan kemungkinan perkara perkara lain yang bakal terjadi pada kita masa hadapan itu nanti meragut kebahagiaan hidup yang sepatutnya kita miliki. Semua ini sebenarnya proses pembenakan dimana kita akan berasa sesak dan sempit sedangkan kita ini masih banyak lagi tanggung jawab dan perkara lain yang sedang berlaku dalam kehidupan kita untuk kita uruskan dengan sebaik mungkin pada saat ini.
Lama aku menangisi akan takdir ini,
Lama aku pendam akan duka ini,
Mana mungkin untuk aku lupakan
Mana mungkin ia mendebu begitu sahaja.